Pusat Kualiti Akademik Universiti  |  Universiti Sains Malaysia

Apakah itu PKA USM?

Pusat Kualiti Akademik Universiti (PKAU) ialah unit jaminan kualiti dalaman (Internal Quality Assurance Unit, IQA) di bawah Universiti Sains Malaysia (USM). PKAU bertanggungjawab merancang, menyelaras, melaksana dan memantau semua aktiviti jaminan kualiti dalaman bagi memastikan program akademik USM menepati piawaian dan keperluan yang ditetapkan oleh Universiti, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) serta badan profesional berkaitan.

Apakah objektif utama PKA?

Objektif utama PKA USM ialah memastikan semua program akademik di USM:

- Mematuhi dasar dan standard kualiti Universiti, MQA, KPT dan badan profesional;
- Mencapai keberkesanan jaminan kualiti dalaman; dan
- Menyokong usaha universiti mengekalkan status swaakreditasi (self-accreditation) USM.

Apakah fungsi PKA dalam aspek jaminan kualiti dalaman?

PKA berperanan memastikan pelaksanaan dan pematuhan jaminan kualiti akademik di semua Pusat Tanggungjawab (PTJ) USM melalui:
- Penyelarasan dan bimbingan pelaksanaan audit dalaman program dan kursus;
- Penyediaan panduan serta latihan berkaitan jaminan kualiti;
- Penandaarasan amalan terbaik di peringkat kebangsaan dan antarabangsa; dan
- Penyertaan aktif dalam rangkaian jaminan kualiti seperti Majlis Pengurusan Kualiti Universiti Awam (MPQ-UA) dan Malaysian Higher Education Institutions Quality Assurance Network (MyQAN).

Apakah peranan PKA sebagai pusat rujukan pembangunan dan semakan kurikulum?

PKA menjadi pusat rujukan utama kepada semua PTJ di USM dalam:
- Pembangunan program akademik baharu;
- Semakan dan penambahbaikan kurikulum program sedia ada; dan
- Pematuhan terhadap keperluan Universiti, MQA, KPT, dan badan profesional.

PKA juga merancang serta melaksanakan latihan, bengkel dan taklimat berkaitan pembangunan dan semakan kurikulum bagi memperkukuh amalan jaminan kualiti akademik di universiti.

Apakah tanggungjawab PKA dalam pelaksanaan Outcome-Based Education (OBE)?

PKA bertanggungjawab memantau pelaksanaan Pendidikan Berasaskan Hasil (OBE) di semua PTJ USM dengan memastikan:
- Setiap program dan kursus dilaksanakan mengikut prinsip OBE;
- Rekod pencapaian hasil pembelajaran diselia dan dinilai dengan sistematik; dan
- Latihan, bengkel serta seminar OBE dijalankan secara berkala kepada staf akademik dan pentadbir.

Apakah itu Sistem Jaminan Kualiti Akademik yang diselaras oleh PKA?

Sistem Jaminan Kualiti Akademik ialah kerangka yang menyelaras pengurusan data dan dokumentasi akademik universiti merangkumi:
- Borang Penawaran Kursus (BPK);
- Fail kursus dan dokumentasi OBE; serta
- Rekod pencapaian hasil pembelajaran pelajar.

Sistem ini membantu memastikan pelaksanaan program akademik di USM berada pada tahap kualiti yang konsisten dan terkawal.

Siapakah yang boleh mendapatkan khidmat bimbingan atau latihan daripada PKA?

Semua Pusat Tanggungjawab (PTJ) di USM termasuk Pusat Pengajian, Institut dan Pusat boleh mendapatkan khidmat:
- Rundingan pembangunan dan semakan kurikulum;
- Latihan berkaitan OBE dan jaminan kualiti; serta
- Sokongan pelaksanaan audit akademik dan CQI (Continuous Quality Improvement).

Di manakah staf boleh mendapatkan dokumen atau panduan berkaitan jaminan kualiti akademik?

Dokumen rasmi seperti Garis Panduan Jaminan Kualiti Dalaman (IQA) USM, Garis Panduan Pembangunan Borang Penawaran Kursus (BPK) USM, Garis Panduan Penawaran Program Akademik Baharu, Garis Panduan Semakan Kurikulum, Kit IQA PTJ dan lain-lain boleh diakses melalui:

Portal Rasmi Pusat Kualiti Akademik Universiti (PKA), USM di https://quality.usm.my

Bagaimana untuk menghubungi PKA bagi pertanyaan lanjut?

Untuk sebarang pertanyaan, cadangan atau permohonan khidmat latihan, sila hubungi:

Emel: pusatkualitiakademik@usm.my
Telefon: +604-653 6574
Alamat: Pusat Kualiti Akademik Universiti (PKA),
Aras 2, Canselori II,
Universiti Sains Malaysia,
11800 Pulau Pinang, Malaysia.

Apakah yang dimaksudkan dengan hasil pembelajaran (learning outcome)?

Pencapaian pelajar diukur oleh hasil pembelajaran. Hasil pembelajaran ini menetapkan kompetensi yang patut diperoleh oleh pelajar apabila selesai mengikuti satu-satu program pengajian. Ciri-ciri ini terkandung dalam lapan domain hasil pembelajaran iaitu;

a. Pengetahuan ilmu bidang;
b. Kemahiran praktikal;
c. Kemahiran dan tanggungjawab sosial;
d. Nilai, sikap dan profesionalisme;
e. Kemahiran komunikasi, kepimpinan dan kerja berpasukan;
f. Kemahiran penyelesaian masalah dan kemahiran saintifik;
g. Kemahiran pengurusan maklumat dan pembelajaran sepanjang hayat; dan
h. Kemahiran mengurus dan keusahawanan.

Pencapaian hasil pembelajaran ini pula akan diukur menggunakan pengiraan sistem kredit yang berasaskan kepada beban sebenar jam pembelajaran pelajar (student learning time) dan tidak lagi berasaskan jam kontak antara pensyarah dan pelajar.

Apakah yang dimaksudkan dengan sistem kredit berasaskan Student Learning Time (SLT)?

Student Learning Time (SLT) bermaksud beban sebenar jam pembelajaran pelajar yang mengambil kira semua aktiviti pembelajaran termasuk persediaan material di perpustakaan dan pencarian sumber maklumat di internet. SLT diambil kira bukannya berasaskan kepada jam kontak antara pensyarah dan pelajar semata-mata.

Pusat Kualiti Akademik 
Universiti (PKAUSM)

Universiti Sains Malaysia,
11800 USM, Pulau Pinang, Malaysia.
Tel : +604-653 6571 / 6572   
Emel : pusatkualitiakademik@usm.my

  • Last Modified: Thursday 30 October 2025.

Penafian :

Laman web ini menggunakan komponen GTranslate bagi tujuan terjemahan ke dalam Bahasa Inggeris (US). Sekiranya terdapat sebarang ketidaktepatan dalam terjemahan, versi Bahasa Melayu hendaklah dirujuk sebagai rujukan rasmi laman web ini.